Sunday, 18 September 2016

Mendaki Gunung Gap dan Gunung Ulu Semangkok



Percubaan pertama untuk menawan Gunung Ulu Semangkok gagal. Aku dan Ilyas hanya Berjaya sampai di puncak Gunung Gap sahaja. 
 
Setelah dua minggu berehat kami mencuba sekali lagi. Kali ini Hanis menyertai kami. Kami tiba di Bukit Fraser agak lewat. Cuaca pagi itu sangat baik. Kami bersarapan di sebuah kedai makan berdekatan. Seperti sebelum ini kedai itu dipenuhi oleh abang-abang basikal. Selesai menjamah nasi lemak kami bersiap-siap untuk memulakan pendakian.
 
Sebaik tiba di tempat permulaan, kami membuat sedikit regangan memanaskan badan. Selepas lebih kurang lima minit, pendakian bermula. Bagi aku dan Ilyas, kami dah masak dengan denai dan kecerunan Gunung Gap. Secara mental & fizikal kami sudah bersedia. Pendakian yang lepas kami berjaya sampai ke puncak dalam masa lebih kurang 30-45 minit. Memandangkan ini adalah kali pertama bagi Hanis, pendakian Gunung Gap agak menguji fizikalnya. Dari mula denainya sudah cerun. Beberapa tempat sahaja denainya mendatar. Satu kejutan bagi Hanis.

Kami berhenti beberapa kali untuk berehat. Kami berborak tentang pengalaman kami mendaki gunung-gunung lain. Kerap juga Hanis mengatakan pendakian Gunung Gap lebih memenatkan berbanding pengalaman kami mendaki Gunung Nuang.


Pendakian ke Gunung Gap.

Tiba di suatu tempat kami behenti duduk di sebatang pokok yang tumbang. Ketika masing-masing sedang berehat, tiba-tiba Hanis muntah. Penangan makan nasi lemak sebelum memulakan pendakian tadi agaknya. Di sini kami berehat agak lama. Setelah puas berehat, kami meneruskan pendakian setelah berjaya meyakinkan Hanis untuk menyambung pendakian.

Lebih kurang pukul 11 pagi kami tiba di puncak Gunung Gap. Hanis terus rebah kepenatan. Tidak ada kumpulan lain dipuncak. Hanya kami bertiga. Kami duduk berbual dan seperti kebiasaan kami hanya makan roti sahaja setiap kali kami mendaki. Apabila masing-masing sudah bertenaga semula, kami merakam gambar bersama di puncak. Pemandangannya cantik. Gunung-ganang menghijau. Angin mungkin sejuk jika kami tiba lebih awal. Pukul 11.30 kami memulakan langkah ke puncak Gunung Ulu Semangkok.


Pemandangannya dari puncak Gunung Gap yang berketinggian 1183m.

Berbanding pendakian awal tadi, kali ini pendakiannya lebih senang. Laluan pendakian di selang seli dengan denai yang mendatar. Terdapat juga beberapa batang pokok tumbang yang menghalang jalan. Tapi ia tidak lah sukar untuk melintasinya. 

Kami berhenti seketika di satu tebing curam. Pemandangan gunung ganang jelas kelihatan. Dari situ boleh lihat kabus yang seolah-olah kelihatan seperti jerebu. Kami mula merasakan angin sejuk bertiup. Langit mulai gelap. Petanda hujan akan turun. Tak lama kami di situ. Kami terus memulakan langkah.

Tiba di satu kawasan, terdapat tali yang di ikat untuk meneruni cerun yang sederhana curam. Ilyas orang pertama yang turun, di ikuti oleh Hanis kemudian aku. Melepasi curam tersebut, laluan selepas itu menaik tinggi. Aku dapat rasakan inilah kecerunan yang terakhir yang perlu didaki. Kami perlu pantas. Langit semakin gelap. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Kami berhenti sekejap. Aku ambil peluang ini untuk mengenakan jaket kalis air.

Sebaik menyambung semula langkah, hujan turun dengan renyainya. Ketika ini lah kali pertama kami bertembung dengan kumpulan pendaki lain. Sekumpulan lebih kurang 6 orang meneruni  cerun. Kami menyapa mereka. Kami akan sampai ke puncak sebaik kami melepasi cerun terakhir ini kata mereka. Semakin kami menghampiri puncak hujan pun semakin lebat. Angin sedikit kuat ketika ini. Akhirnya lebih kurang pukul 1 kami sampai di puncak Gunung Ulu Semangkok!.

Puas dan gembira rasanya dapat menawan puncak Gunung Ulu Semangkok. Kami berteduh di bawah struktur besi berbentuk segitiga. Perasaan untuk bergambar kami pendamkan dahulu. Kami menghabiskan bekalan makanan yang dibawa.

Terdapat satu sudut di puncak di mana pemandangannya sangat menakjubkan walaupun pada ketika itu latar belakang hanya di hiasi kabus kebal yang putih. Kami bergambar di situ dalam hujan yang mulai reda. Tetapi angin ketika itu agak kuat. Kami benar-benar menikmati suasana tersebut.

Kami berjaya menawan Gunung Ulu Semangkok yang berketinggian 1394m.
Kabus tebal, hujan renyai-renyai, laluan sedikit licin untuk ke penanda berbatu.

Angin yang kuat mengibarkan Jalur Gemilang.